CYBERJAYA: Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan wajar diadakan di peringkat negeri kerana ia berjaya mewujudkan keserasian antara pelbagai parti.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan sekiranya langkah itu diambil, akar umbi semua parti dalam kerajaan perpaduan turut dapat memberikan pandangan.

Selain itu, menurut beliau, keserasian semua parti dapat menjawab tohmahan yang dilemparkan terhadap kerjasama yang dijalinkan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

"Ada bekas pemimpin UMNO yang merasakan bahawa tidak sepatutnya pemimpin parti tertentu berucap di Dewan Merdeka dan ini kononnya melunturi semangat nasionalisme.

"Hakikatnya dalam politik, kita harus melihat dari segi dinamika, kerana ia bukan fokus kepada sesebuah parti atau individu tertentu tetapi kemajmukannya, dan perkara ini harus diakui sebagai sesuatu yang tidak boleh dielak dan harus disantuni.

"Kita mahu negara ini menjadi sebuah negara yang progresif dan mempunyai kestabilan politik yang baik, dan pada masa yang sama pertumbuhan ekonomi yang baik demi kesejahteraan rakyat," katanya selepas menghadiri jamuan Aidilfitri anjuran Majlis Profesor Negara.

Presiden UMNO itu juga meminta agar semua pihak melupakan sengketa lama dan bersama-sama membina negara.

Pada Ahad, Kerajaan Perpaduan menganjurkan Konvensyen Nasional buat julung kali di WTCKL.

Acara itu dibuka tirainya menerusi Konvensyen Nasional Wanita Kerajaan Perpaduan dan Konvensyen Nasional Pemuda Puteri Kerajaan Perpaduan yang diadakan secara serentak.

Sementara itu, ketika diminta mengulas kenyataan bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang menjangkakan parti itu bakal ditolak rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Ahmad Zahid menegaskan beliau tidak akan menghormati pandangan peribadi bekas Ahli Parlimen Ketereh itu.